Thursday, 20 February 2014

13. Cuti Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan

Cuti...................

Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan


Tarikh:  14.1.2014

Khas Sempena Keputeraan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan.



Sempena Hari Keputeraan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ke 66 pada 14 Januari 2014 ini, WARISAN PERMAISURI membawakan kisah tentang Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan ke 11 ini. Gelaran penuh baginda ialah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir,
D.K.,D.M.N.,D.K.(Perak),D.K.(Perlis),D.K.(Selangor),D.K.(Kedah),D.K.(Kelantan),D.K.(Johor),D.K.(Terengganu),D.K.Y.R.,P.P.T.

Istiadat bersiram.

Diputerakan sebagai Yang Mulia Tunku Muhriz Ibni Tunku Munawir pada 14 Januari 1948 di Kuala Pilah Negeri Sembilan. Merupakan satu-satunya putera kepada YAM Tunku Laksamana Munawir Ibni Tuanku Abdul Rahman dan YAM Tunku Duratun Nafisah Azibah Binti Tunku Besar Burhanuddin. Tuanku Muhriz merupakan cucunda kepada Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ke 8 dan juga Yang DiPertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad. Baginda juga merupakan cucunda kepada YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Besar Burhanuddin Ibni Almarhum Tuanku Antah. Baginda merupakan anak ketiga daripada 6 adik beradik. 2 orang kekanda baginda telah mangkat iaitu YAM Tunku Umpa Munawirah dan YAM Tunku Mudziah. Manakala adinda-adinda baginda terdiri daripada YAM Tunku Datin Anne Dakhlah, YAM Tunku Deborah dan YAM Tunku Datin Deannah.


Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Tuanku Muhammad dan Sekolah Tunku Besar di Tampin Negeri Sembilan. Seterusnya ke Sekolah King George V di Tampin Negeri Sembilan. Baginda menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Aldenham School, United Kingdom. Tuanku Muhriz seterusnya menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang dan mendapat Bachelor of Law (LLB) di University College of Wales di Aberystwyth pada tahun 1971.


Apabila nenda baginda Tuanku Abdul Rahman mangkat pada tahun 1960, ayahanda Tuanku Muhriz, Tunku Munawir dipilih sebagai Yang DiPertuan Besar. Ayahanda baginda memakai gelaran DYMM Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman manakala bonda baginda bergelar DYMM Tuanku Ampuan Durah Binti Tunku Besar Burhanuddin. Tuanku Muhriz dilantik sebagai Tunku Laksamana menggantikan ayahanda baginda pada tahun 1960 ketika berusia 12 tahun. Apabila nenda baginda Tunku Besar Burhanuddin mangkat pada tahun 1961, gelaran Tunku Besar Seri Menanti diberikan kepada baginda. Istiadat pemasyhuran baginda diadakan di Istana Besar Seri Menanti pada 7 Julai 1961.Tuanku Muhriz menjadi Tunku Besar Seri Menanti selama 47 tahun. 

Ketika bergelar Tunku Besar Seri Menanti,

Tuanku Munawir mangkat pada tahun 1967 di usia 45 tahun. Pada ketika itu Tuanku Muhriz baru sahaja berusia 18 tahun. Dato'-Dato' Undang telah bersidang untuk memilih Yang Di Pertuan Besar yang baru. Putera yang empat yang berkelayakan untuk menaiki takhta Negeri Sembilan ialah Tunku Besar Seri Menanti Tunku Muhriz, Tunku Laksamana Tunku Nasir, Tunku Muda Serting Tunku Jaafar dan Tunku Panglima Besar Tunku Abdullah. Undang telah bersepakat memilih Tunku Jaafar sebagai Yang DiPertuan Besar menggantikan Tuanku Munawir. Antara sebab Tuanku Muhriz tidak dipilih adalah kerana faktor usia baginda yang masih muda.


Tuanku Muhriz mendirikan rumah tangga dengan seorang puteri dari Terengganu iaitu YM Tengku Aishah Rohani Binti Tengku Besar Mahmud pada 25 April 1974 ketika berusia 26 tahun.  Istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Istana Maziah Kuala Terengganu. Tengku Aishah merupakan cucunda kepada Sultan Terengganu Sultan Zainal Abidin. Perkahwinan baginda dikurniakan tiga orang putera iaitu YAM Tunku Ali Redhauddin, YAM Tunku Zain Al Abidin dan YAM Tunku Alif Hussian Saifuddin Al Amin. Anakanda sulung baginda Tunku Ali Redhauddin dikurniakan gelaran Tunku Besar Seri Menanti pada 23 Februari 2009.

Ketika Istiadat Pertabalan.

Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman yang memerintah Negeri Sembilan selama 41 tahun mengkat pada usia 86 tahun pada 27 Disember 2008. Maka bersidanglah Dato-Dato' Undang untuk memilih Yang DiPertuan Besar yang baru. Pada 29 Disember 2008, maka Undang membuat keputusan untuk memilih Tuanku Muhriz sebagai Yang DiPertuan Besar ke 11. Tuanku Muhriz yang dibesarkan diluar lingkungan protokol diraja dipilih berdasarkan kekananan baginda selaku Tunku Besar Seri Menanti. Baginda juga mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang korporat dan pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Bangkok Bank. Tiga lagi calon yang berkelayakan ialah Tunku Laksamana Tunku Naqiyuddin, Tunku Muda Serting Tunku Tan Sri Imran dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin.  Baginda ditabalkan pada 26 Oktober 2009 di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti dalam upacara yang gilang gemilang. Baginda juga dilantik sebagai Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2009. Semoga Allah melanjutkan usia Tuanku Muhriz . Selamat Hari Keputeraan ke 66 Tuanku. DAULAT TUANKU !! DAULAT TUANKU !! DAULAT TUANKU !!

Almarhum Tuanku Munawir dan Almarhum Tuanku Ampuan Durah di atas singgahsana .

Bersama ayahanda dan nenda sebelum berangkat ke United Kingdom.

Keluarga DiRaja Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment